Merdeka ke 57 Di Sini Lahirnya Cinta


Salam dan selamat sejahtera semua :)

Sempena hari yang bermakna bagi Malaysia secara amnya dan khususnya kepada Semenanjung Tanah Melayu iaitu hari kemerdekaan yang ke 57.

Tarikh yang amat bermakna kerana ianya permulaan atau perintis kepada kemerdekaan Sarawak, Sabah malah kepada Singapura apabila British bersetuju dengan pembentukan Malaysia sebagai jalan akhir kepada pembanterasan puak komunis yang sangat aktif tika itu. Makanya terbentuklah Malaysia pada tahun 1963 September 16.

Baiklah itu soal geopolitik. Sekarang mari kita berbalik kepada motto tahun ini, " Di sini lahirnya sebuah cinta". 
Di sini merujuk Malaysia tercinta dan di sini lah sebuah cinta ingin dipupuk. Namun cinta apa yang ingin dipupuk atau lahir itu?
57 tahun mengikut umur manusia sangatlah pendek malah ianya kekadang tidak bermakna pun. Ada kemungkinan ianya mengundang penyesalan yang amat.
Mengapa ini berlaku? Ini disebabkan masa yang pendek dimana tiada legasi/adat/turun-temurun yang dapat dicipta mahupun ditinggalkan. Jika 57 tahun ini tidak mengandungi perkara yang membanggakan makanya tiada nilai cinta yang mampu lahir kerana cinta itu tidak mampu lahir dalam keadaan yang vakum. Ianya perlu dipupuk perlahan2 malah semangat kecintaan bersifat kebangsaan bisa sahaja mengambil beribu-ribu tahun seperti bangsa Eropah. Malah kecintaan itu bisa sahaja putus atau hilang begitu sahaja walaupun dibajai selama beratus2 tahun seperti yang dialami oleh bangsa Korea (terpisah menjadi bangsa Korea Utara dan Selatan).

Oleh itu apa lagi yang kita boleh lakukan untuk memupuk kecintaan ini?

Ini tidak lain tidak bukan melalui penghayatan sejarah yang lebih panjang daripada 57 tahun. Kita perlukan kesatuan setempat yang mencakupi nilai universal ataupun yang telah terbukti bersifat universal untuk menyatukan dan melahirkan rasa cinta ini. Pengalaman sejarah yang panjang sahaja mampu membibitkan nilai kecintaan yang tinggi kepada negara dan jika kita ingin mengharapkan pencapaian sedemikian jika hanya dinisbahkan kepada kemerdekaan selama 57 tahun ini, alamatnya terpaksalah kita menantikan beratus-ratus tahun lagi untuk kita melihat kecintaan tersebut. Itupun jika onar dan duri berjaya dihadapi dengan hikmah.

Penghargaan kepada tinggalan sejarah amat penting dalam menyuburkan semangat patriotik atau cinta ke dalam diri individu. Apabila yang dimaksudkan dengan sejarah tidaklah merujuk kepada sejarah buku teks tetapi sejarah yang lebih luas yang hanya boleh dipelajari di universiti sahaja mengikut kata2 rakan saya.

Sejarah yang menggambarkan kesatuan yang ada sejak beratus-ratus perlu dihebahkan bahawa kesatuan itu telah lama mengalir di dalam darah kita ini. Cuma ianya perlu dibaja kembali setelah lama terperosok akibat penjajahan ke atas tanah air kita ini. Kita perlu yakin bahawa kita mampu bersatu seperti mana kita mampu bertutur sekarang ini. Ianya sudah ada di dalam genetik kita cuma kita lupa keberadaan unsur itu.

InshaAllah jika niat kita betul dan amal kita betul, kesatuan ini akan mudah dicapai. Yang pentingnya jangan kita mudah putus harapan. Pengharapan itu perlu untuk mendorong kita menjayakan kesatuan ini.

Salam Kemerdekaan!

KA

p/s: tulisan saya berkenaan sejarah boleh diikuti di SINI , di SINI dan di SINI juga di SINIpart1 dan part2

Comments

Popular Posts