Selangkah Ke Alam Masa Lampau -Lembah Bujang-

Salam u'olls,


Seminggu ni kita menyaksikan satu peristiwa yang sangat menyayat hati buat sejarah negara kita apabila salah satu candi di Lembah Bujang iaitu Candi 11 telah dimusnahkan oleh pemaju perumahan di Kedah ini.

Malahan yang lebih menyayat hati apabila respon yang diberikan oleh mereka yang melakukannya sangat mengguris hati, malahan jawapan balas oleh MB juga amatlah menyakitkan hati.

Oleh itu, di atas insiden di atas, saya dengan inisiatif sendiri (pada 7 Disember 2013) dengan bantuan 'tourist guide' tempatan telah cuba menjejak kembali candi2 yang terdapat di Lembah Bujang ini. Secara jujurnya saya sendiri tidak begitu faham secara asasnya mengenai Lembah Bujang ini. Makanya, sebelum saya melakukan respons yang melulu dan dengan penuh emosi di media sosial saya, adalah lebih baik sebagai tanggungjawab saya sendiri turun padang untuk memahamkan akan candi2 tersebut.

-inilah Tourist Guide saya-
Mulanya saya ingin pergi pagi tetapi memandangkan tourist guide saya sedikit sibuk, janji temu ini telah dilewatkan ke pukul 12 tengah hari. Dugaan untuk tiba di tempat ini memang mencabar dengan adanya kesesakan lalu lintas. Akhirnya saya tiba di rumah beliau pada pukul 12.30 tengah hari.

Setelah beramah-mesra dengan beliau dan keluarga beliau, kami pun beransur ke tapak pertama candi2 itu iaitu sebidang tanah yang dimiliki oleh USM (Universiti Sains Malaysia).

Pemandangan di situ amat menakjubkan kerana bagi saya ini merupakan pengalaman pertama menyaksikan tinggalan arkeologi Malaysia. Kawasan ini yang dibawah jagaan USM dijaga 24 jam oleh pengawal keselamatan bertugas beserta beberapa pelajar USM sendiri akan berada di tapak tersebut mengikut giliran masing2.

Kami berdua dibawa oleh seorang graduan Master bidang Arkeologi USM (seperti di dalam gambar) untuk memberikan kami penerangan serba sedikit mengenai tapak2 yang ada di situ. Berdasarkan fakta2 yang diberikan candi yang berada di sini berumur sekitar 1800 tahun yang bermaksud ianya telah berada sejak 200 Masihi (AD). Malahan dijumpai juga pusat peleburan yang berumur sedemikian jua. Selain itu, kawasan itu juga ditemui jeti/pusat pelabuhan kapal. Semuanya ini berumur 1800 tahun. Semua ini merupakan tinggalan warisan Kerajaan Kedah Tua.


-Candi yang berumur 200 Masihi tertua di Asia Tenggara-
-Tapak Peleburan Besi yang menjadi sebutan pedagang Arab sebagai antara terbaik di dunia-

-Jeti/Pelabuhan-
Selain daripada penerangan di atas, semestinya soalan kontroversi telah kami ajukan kepada graduan tersebut berkenaan candi 11. Dia berkata bahawa candi 11 itu bukan di bawah jagaan USM tetapi di bawah jagaan Muzium. Makanya dia kata dia tidak boleh memberikan apa2 yang boleh memecahkan kebuntuan akan bagaimana boleh candi tersebut musnah sebegitu sahaja. 

Selain itu dikhabarkan juga bahawa memang termaktub di dalam undang2 negara kita berkenaan hukuman terhadap mereka yang memusnahkan bahan2 arkeologi negara. Fuhh~ Nasib baik ada, yang tinggal hanyalah sama ada pelaksanaannya akan berlaku atau tidak.

Banyak maklumat2 baru yang perlu dihadam tapi nampaknya disebabkan masa yang sedikit suntuk dan tanpa pengetahuan asas, soalan2 penting tidak dapat ditanya. Maafkan saya. 

-Tempat peleburan besi juga-

Sewaktu berada di sana, beberapa buah kereta tiba ke kawasan tersebut untuk melihat dengan lebih lanjut berkenaan tapak2 tersebut seperti juga kami. Hehehe inilah peluang saya untuk tahu apa yang bermain di fikiran mereka yang datang ke tapak arkeologi ini. Namun nampaknya apa yang berlegar-legar di fikiran mereka masih lagi mentah di mana mereka juga tidak mempunyai asas seperti saya ini. Walaubagaimanapun, bukan itu yang mengecewakan saya tetapi yang mengecewakannya ialah mereka ini semuanya datang dengan pemikiran yang tidak anjal. Di dalam kotak pemikiran mereka semacam sudah ada satu bentuk pemikiran yang tetap di mana kedatangan mereka di sini hanyalah untuk pemikiran itu dipasak lebih dalam lagi. Sedangkan apa yang mereka fikirkan amatlah ketara perbezaan berbanding buah fikiran para pakar arkeologi. Malah diceritakan juga ada yang tidak mempunyai asas bidang sejarah mahupun bidang arkeologi telah menggunakan media untuk menyampaikan maklumat yang tidak benar berkenaan candi itu. 

Pada saya ini sangat merunsingkan. Ini semacam sudah menjadi sikap rakyat Malaysia apabila mereka melayani semua isu secara emosi walaupun isu2 itu isu yang sangat berat (bersifat akademik/ilmiah). Dalam keghairahan kita untuk menyedarkan rakyat Malaysia untuk meminati atau dalam kata mudahnya untuk membantah tindakan memusnahkan artifak negara (Baca: sejarah negara), janganlah pula kita menggunakan sentimen2 yang bersifat emosi yang menyalahi adab dalam dunia akademik/ilmiah sehinggakan nanti kita menghasilkan pihak ekstremis di sebelah sini. Sebelum ini rakyat Malaysia memang ekstremis dalam bersikap tidak ambil tahu terhadap hal2 berkaitan sejarah. Janganlah disebabkan kesilapan kita yang 'bijak pandai' ini menyebabkan kita memindahkan ekstremis2 ini kepada ekstremis2 di hujung yang lain pula. 

Baiklah, cukuplah dengan isu2 candi yang dimusnahkan itu sebelum saya yang jadi emosinal pulak :P

Selepas itu saya pun pulang ke rumah 'tourist guide' dan dijamu dengan makanan tengah hari yang lazat. Kekenyangan dibuatnya, dahlah makan pukul 3...lapar kot. hehehe

Selepas makan kami pun pergi ke destinasi seterusnya, Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Di sini terdapat beberapa candi di sekeliling Lembah Bujang yang telah dicari-gali, dipindahkan dan dipulih-harakan oleh pihak Muzium. Inilah merupakan apa yang telah dilakukan terhadap candi 11 kecuali dipindahkan di sini.

Baiklah mungkin ini yang dikatakan oleh mereka yang tidak mengetahui, "Tu tengok tu boleh je bina balik, takyah kisahlah yang dah hancur tu. Kita bina baliklah jer lah, tak perlulah kecoh2 sangat".

Untuk mereka yang cakap atau fikir macam tu, mai sini nak habaq sikit. Bila kata pemuliharaan itu maksudnya memanglah bina balik tetapi selalunya kalau artifak yang baik, hanya 20% yang guna bahan asing. Yang 80% tu memang bahan binaan asal. Kalau bina balik selepas musnahkan tu maksudnya 100% bahan asing yang baru. Malah untuk pengetahuan semua, cara untuk mengetahui umur artifak biasanya mereka menggunakan radiocarbon testing dan jika artifak dibina (baca: setelah dimusnahkan) semula tanpa sempat kajian dibuat, bagaimana kita nak tahu umur artifak sedangkan bahan yang digunakan ialah bahan yang berumur tak sampai setahun?

Berkenaan candi2 yang terdapat di muzium itu, ianya memang menyentuh jiwa apabila difikirkan bahawa binaan2 mereka ini yang mampu kukuh tak telan dek zaman malah mampu yang hidup beratus2 malah beribu tahun. Selain itu, apabila ditemui bahawa di sini merupakan pusat peleburan besi yang terbaik di dunia pada zaman itu mengikut manuskrip Arab yang sudah pastinya akan mengubah perspektif kita mengenai ketamadunan ini. Ini sangat mengujakan kerna dalam usaha mengungkap kembali ketamadunan nusantara terutamanya semenanjung Tanah Melayu ini, penemuan ini membuktikan ketinggian ketamadunan kawasan ini. Acapkali Ketamadunan kawasan ini yang sering disalah-ertikan malah dihina dan diejek sebagai tidak mempunyai identiti atau meninggalkan bekas dalam menyumbang kepada ketamadunan dunia telah disanggah oleh peninggalan artifak di Lembah Bujang ini. 

-Candi Pendiat-
-Candi Pengkalan Bujang-

-Candi Bukit Batu Pahat-


-Candi Bendang Dalam-

-Candi Bendang Dalam-

-Perahu Sagor yang digunakan untuk membawa barang dagangan ke Pelabuhan Lembah Bujang di Kuala Merbok-

Apa yang pentingnya ialah diharap dengan musnahnya candi 11 (yang meruntun jiwa) adanya satu kebaikan di atas kejadian itu iaitu masyarakat mula memandang ke arah sejarah dan mula menunjukkan minat dalam mengisi kelompongan ketamadunan kawasan Nusantara ini. Semoga tiada lagi pemusnahan artifak2 negara yang secara tidak langsung bakal menimbulkan generasi yang jahil akan sejarah sendiri. Pada hemat saya lebih baik kerajaan menggunakan tempat2 bersejarah ini sebagai tumpuan keilmuan dalam usah untuk membentuk peribadi rakyat yang lebih patriotik daripada membazirkan duit dengan program2 yang bersifat retorik sahaja.

Baiklah saya tak ingin membebel panjang sebab ini bukan forte saya. InsyaAllah akan pergi lagi. Dengar cerita ada banyak bahan2 artifak ni kat USM. Jadi InsyaAllah ke USM dulu sebelum pergi balik ke Lembah Bujang. 

p/s: Lepas ni selangkah ke 10,000 tahun lampau pulak, Perak Man and Woman here I come! hahaha angan2 je nak pergi Lenggong XD

Comments

Popular Posts