Melayukah Kita???

Wahai rakan-rakanku berbangsa Melayu...bacalah untuk pedoman....

Mempertahankan Islam sebagai identiti Melayu

Fri Nov 24, 06 03:04:44 PM Oleh Omar Abdul Aziz

Syarat pertama bagi seseorang untuk dinamakan Melayu adalah agama Islam. Kedua, mesti berbahasa Melayu. Ketiga, mengamalkan adat istiadat Melayu.
Syarat ini sudah dimaktubkan secara rasmi di Malaysia, dan ia merupakan semangat penting dalam Perlembagaan.

Tetapi tiga syarat ini bermula dan diwarisi daripada Kesultanan Melaka. Justeru, di situlah bermulanya konsep bangsa Melayu yang difahami sekarang. Sebelum itu sudah wujud orang Melayu, khususnya dalam bentuk kerajaan Sri Wijaya. Bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu boleh dikatakan dibakukan pada kerajaan Sri Wijaya. Adat Melayu dengan konsep kerajaan Melayu bermula awal di Minangkabau, dengan munculnya adat Temenggong dan adat Perpatih.
Bagaimanapun, oleh kerana kerajaan Sri Wijaya beagama Hindu-Buddha, maka tidaklah boleh disebut mereka sebagai bangsa Melayu dalam erti kata sekarang. Begitu juga dengan apa yang dimaksud Melayu Kristian di Sumatera dan Singapura, mereka tidak boleh dianggap Melayu.
Ini kerana Islam merupakan syarat pertama. Begitu juga dengan bahasa. Kalau seseorang sudah tidak menggunakan bahasa Melayu, walaupun beragama Islam dan berdarah keturunan Melayu, maka mereka tidak lagi dianggap Melayu seperti mana komuniti Melayu di Sri Lanka dan Afrika Selatan. Mereka hanya boleh disifatkan sebagai keturunan Melayu. Melayu rojak
Dalam hal ini, mana-mana golongan elit Melayu yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu, tidak boleh juga dianggap Melayu. Kalau mereka menggunakan bahasa rojak, maka Melayunya juga sudah jadi rojak.

Ini kerana konsep bangsa Melayu bukan berbentuk perkauman. Ia tidak berdiri di atas darah keturunan. Sebab itu Melayu boleh menerima sesiapa saja, walaupun tidak ada setitik darah keturunan Melayu. Sama ada dari China, India atau Inggeris, jika mereka beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu, maka mereka adalah orang Melayu.

Maka anak-anak angkat Melayu yang asalnya dari bangsa lain juga dianggap sebagai orang Melayu. Tetapi syarat ketiga Melayu juga penting iaitu mengikut adat istiadat Melayu. Dalam konsep ini, mana-mana orang Melayu mesti mengiktiraf raja-raja Melayu, dan segala adat istiadat berhubung dengan konsep politik ini. Iaitu selain adat istiadat yang berbentuk sosial seperti perkahwinan dan menyambut hari raya cara Melayu.
Maka di dunia hari ini, apa yang boleh disebut sebagai orang Melayu adalah mereka yang beragama Islam dan berbahasa Melayu serta berada di Malaysia dan Brunei Darussalam. Kerana hanya di dua negara ini, orang Melayunya mempunyai raja Melayu. Di Malaysia, di negeri-negeri yang tidak mempunyai raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong menjadi raja mereka.
Justeru, orang Melayu di Singapura, Thailand , Indonesia dan Filipina tidak boleh dikatakan Melayu kerana mereka tidak mempunyai raja. Di Thailand dan Filipina, mereka juga tidak boleh berbahasa Melayu.

Memang benar pada satu masa bangsa Melayu boleh dianggap tiada dengan penyerahan kuasa oleh Raja-raja Melayu kepada British apabila negara ini hendak menjadi Malayan Union. Ketika itu, tinggallah Sultan Brunei menjadi raja Melayu yang tinggal. Raja-raja Melayu di Indonesia sudah habis digulingkan pejuang republik.
Tetapi di Tanah Melayu, Umno muncul untuk memulihkan kedudukan raja-raja Melayu. Kerana bimbangkan negara ini jatuh ke tangan komunis, kedudukan raja-raja Melayu dipulihkan.

Umno kemudian berpecah. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) keluar Umno kerana usul mereka untuk menjadikan bendera Sang Saka Merah Putih, yang dianggap bendera Melayu ditolak Umno. Bendera Sang saka Merah Putih itu kini adalah bendera nasional Indonesia. Sementara Umno baru saja menamakan benderanya Sang Saka Bangsa.
Perpecahan kedua apabila Dato' Onn Jaafar keluar untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Kemudian, perpecahan ketiga, ialah apabila Biro Agama Umno keluar untuk menubuhkan Parti Islam seluruh Malaya (PMIP) yang kemudian dikenali sebagai PAS.
Di bawah Dato' Asri, PAS jelas sebagai parti Melayu: Memperjuangkan agama Islam, berbahasa Melayu dan mendokong kedaulatan Raja-raja Melayu.

Untuk menjadi ahli PAS, syaratnya adalah seseorang itu mesti beragama Islam. Secara praktikal, semua ahli PAS berbahasa Melayu, dan rasminya mengamalkan adat istiadat Melayu dengan hubungan baik bersama istana, seperti dibuktikan kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu dahulu.

Maka sememangnya Umno parti Melayu. Tetapi PAS juga parti Melayu, malah kedudukan PAS dalam hal ini adalah lebih baik. Ini kerana di dalam PAS, semua ahlinya beragama Islam, dan Islam adalah syarat pertama seseorang sebagai orang Melayu.
Parti Bumiputera

Dalam Umno, terdapat dua golongan yang bukan Islam. Ahli-ahli Siam yang beragama Buddha dan Kadazan yang beragama Kristian. Lebih tepat, Umno disebut sebagai parti Bumiputera. Sememangnya orang Siam dan Kadazan itu adalah Bumiputera.
Orang Melayu adalah sebahagian Bumiputera. Secara turun-temurun, orang Melayu hidup bersama kaum-kaum Bumiputera ini, baik dari kalangan orang Asli, Iban dan Kadazan. Tetapi sebaik saja mereka memeluk agama Islam, maka mereka menjadi Melayu. Ini kerana mereka sudah bertutur bahasa Melayu dan menerima adat istiadat Melayu dalam erti kata mengiktiraf kedaulatan raja-raja Melayu.

Sebelum kedatangan penjajah Barat, kekuasaan orang Melayu melalui kesultanan Melayu yang Islam merupakan tonggaknya meliputi wilayah yang luas, dari Pattani, Champa, Sumatera, Tanah Melayu, Jawa, Kalimantan, Brunei hinggalah hampir keseluruhan kepulauan Filipina dengan Manila yang asalnya daripada perkataan Maamanallah merupakan ibu kota kesultanan Melayu.

Kekuasaan Melayu sampai ke Maluku, yang perkataannya sama seperti Melaka, dan ada kaitan dengan Malik atau kekuasaan.
Dari segi tamadun, Melayu yang tentunya beragama Islam adalah asas bagi keseluruhan Nusantara. Sememangnya terdapat banyak orang yang bukan beragama Islam dalam rantau ini, iaitu Hindu, Buddha dan anaimisme, tetapi mereka adalah Bumiputera yang mengiktiraf kedaulatan kesultanan Melayu Melaka.

Keadaan ini berubah dengan kedatangan Portugis yang beragama Kristian Katolik dari Barat, dan Sepanyol dari Timur. Walaupun apabila Portugis menawan Melaka, mereka hanya merampas tanah yang kecil sementara wilayah Melayu masih kekal di bawah Sultan Melaka yang berpindah istana ke Kota Tinggi.

Kesultanan Melayu tidak tumbang dengan kejatuhan Melaka. Ia hanya berpindah tempat bersemayam. Tetapi kesan kedatangan Portugis itu adalah besar dan panjang. Kesan besarnya ialah mereka melemahkan ekonomi dan politik orang Melayu.
Mereka bagaimanapun tidak berjaya mengubah agama orang Melaka. Orang Bumiputera Kristian di Melaka adalah terdiri daripada keturunan dari India, antaranya dari Goa yang kemudian dianggap sebagai komunti Portugis. Mereka mungkin antaranya mempunyai darah Portugis daripada askar-askar yang datang.

Tetapi, kesan besar adalah berupa kejayaan Portugis menukar agama sebahagian orang Maluku menjadi Katholik. Sementara satu tamparan besar lagi datang dengan ketibaan Sepanyol di Mindanao. Walaupun mereka gagal menukar agama orang Melayu di Mindanao, tetapi di sebelah utara, mereka berjaya hinggalah Manila juga tumbang ke tangan Sepanyol.
Akhirnya pulau-pulau Melayu di situ menjadi Filipina sempena nama raja Sepanyol, dan dengan majoriti beragama Katolik, mereka tidak lagi dianggap sebagai orang Melayu.
Namun begitu, dalam pemerintahan 100 tahun di Filipina, muncul satu kesedaran kebangsaan melalui perjuangan Jose Rizal. Beliau yang belajar di Madrid, Sepanyol menuntut kemerdekaan dan mengimpikan akan muncul republik pertama Melayu atau Malaya. Rizal mahu menetapkan identiti Filipina itu sebagai Melayu.

Tetapi keadaan ini sudah tentu memeranjatkan pihak berkuasa penjajah di Madrid. Bagi mereka, jika sesebuah komuniti menerima Katolik, maka kesetiaan mereka seharusnya kepada raja di Sepanyol. Begitulah yang diharapkan kepada semua wilayah dalam empayarnya di Amerika Selatan.

Walaupun identiti yang dikemukakan nasionalis Filipina dan juga Indonesia berupa Melayu yang bebas daripada penjajah, tetapi keadaan sudah berubah dengan Melayu itu tidak memiliki kedaulatan berwarisan ke atas wilayah.

Itulah yang berlaku ke atas Filipina dan Indonesia. Daripada tapak Maluku, maka agama Katolik tersebar di Nusantara. Maka kehancuran kekuasaan Melayu semakin jelas dengan kedatangan Belanda.

Walaupun majoriti penduduk Hindia Belanda beragama Islam, tetapi kekuasaan yang muncul daripada kesultanan Melayu sudah hilang. Filipina dan Indonesia mencapai kemerdekaan bukan kembali sebagai negara yang berdiri di atas kedaulatan Kesultanan Melayu yang Islam tetapi dalam bentuk republik pelbagai agama.

Republik Filipina dan Indonesia tidak boleh disebut sebagai negara Islam kerana mereka bukan mewarisi kesultanan Melayu tetapi adalah warisan entiti penjajah Sepanyol dan Belanda.
Maka tinggalah negara Melayu dalam eti kata mempunyai kesulanan Melayu yang didokong bangsa Melayu, pastinya beragama Islam dalam bentuk Malaysia dan Brunei Darussalam.

Wallahualam...ini hanya cetusan untuk tatapan ...bukan berbaur politik atau bersifat perkauman tetapi untuk menyedarkan mereka yang berbangsa Melayu yakni beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengikut adat-istiadat Melayu.... Wahai Melayu bangkitlah anda untuk mempertahankan diri kita...

Comments

Popular Posts