Ringkasan Sejarah Islamisasi Tamadun Melayu

Pengajian Islam



Sejarah Awal Islam hingga kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah


Ringkasan Sejarah Islamisasi Tamadun Melayu

oleh

Muhammad Khairul Asraf Bin Shah Nizamuddin

Penang Medical College
2012069





Peradaban ataupun Tamadun merupakan kayu pengukur buat sejarah manusia dalam menentukan darjat dan tinggi rendah martabat manusia itu. Sejarah pula dikaji dalam erti untuk memberikan nilai jati diri kepada manusia. Yang pastinya sejarah sebelum 200 tahun dahulu banyak dimainkan atau ditadbir oleh agama. Oleh kerana itu sejarah wajar ditelusuri malah ditafsir mengikut kepentingan atau martabat pengaruh yang mempengaruhinya.

Semenjak kedatangan Islam ke dunia dengan ditabalkan Muhammad bin Abdullah sebagai Rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah, Islam telah merubah keseluruhan sejarah dunia baik di Barat mahupun di Timur. Kepesatan perkembangan Islam dalam masa 100 tahun selepas kewafatan Rasulullah telah menggoncang dunia dengan merubah kesatuan sesuatu kawasan malah menggabungkan sesuatu kawasan dengan kawasan lain yang tidak pernah dalam benak fikiran mereka untuk bersatu.

Di dalam tulisan ini, apa yang saya ingin sampaikan ialah berkaitan kesan Islamisasi dalam membentuk ciri2 luaran Melayu seperti yang kita fahami sekarang ini. Disebabkan tajuk besar kajian ini berkaitan sejarah sejak kedatangan Islam hingga Kerajaan Uthmaniyyah, saya ingin mengkhususkan tajuk kepada salah-satu tamadun Islam itu sendiri ya’ni Tamadun Melayu.

Ramai pasti berasa janggal dalam mengiktiraf Tamadun Melayu sebagai tamadun Islam yang setaraf dengan Tamadun Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, Bani Uthmaniyyah, Tamadun Moghul dan lain2 lagi. Kejanggalan ini timbul akibat daripada persepsi yang sentiasa dimain-mainkan oleh semua penyelidik-penyelidik sejarah Belanda, British termasuk penyelidik Melayu sendiri bahawa Melayu itu tidak lebih daripada Islam di kulit sahaja tetapi masih Hindhu atau Buddha di hati. Di sini saya ingin merungkai kembali sejarah sebenar tamadun Melayu dan meletakkan pengaruh Islam yang lebih kuat ke atas tamadun Melayu malah merupakan punca kepada terbentuknya Tamadun Melayu seperti sekarang ini.



Saya ingin membahagikan tulisan ini kepada 5 perkara ya’ni:-

1) Ma’na Islamisasi
2) Ma’na melayu dan Pembahagian masa pengIslaman Tamadun Melayu
3) Kekeliruan pengasas Kerajaan Melayu Melaka
4) PengIslaman Bahasa Melayu
5) PengIslaman Kepulauan Melayu-Indonesia – Siapa ‘pioneer’?

Ma'na Islamisasi
Bagi permulaan, saya akan menerangkan maksud setiap perkataan yang terdapat di dalam tajuk saya. Pertama saya akan menerangkan ma’na Islamisasi itu sendiri. Mengikut Al-Attas, kedatangan Islam ialah untuk mengIslamkan manusia iaitu Islamisasi. Makanya perlulah untuk kita memahami ma’nanya dulu sebelum pengIslaman itu dilakukan. Islamisasi berma’na pembebasan manusia pertamanya sekali daripada sihir, tahyul, animisme, tradisi bersifat bangsa dan kebangsaan, dan akhirnya daripada kawalan sekular ke atas sebab dan bahasanya. Di sini jelas disebutkan bahawa Islamisasi datangnya juga untuk mengIslamkan bahasa manusia yang pelbagai. Penjelasan mengenai bahasa akan diterangkan nanti.

Siapakah Melayu sebenarnya? 
Siapakah Melayu sebenarnya? Pembahagian masa sepatutnya mengambil ibrah daripada pembahagian masa bangsa Arab iaitu sebelum dan selepas Islam. Makanya, sebelum Islam, bangsa Melayu ini dipanggil ‘mo-lo-yeou’ mengikut sumber  Cina. Mereka mengatakan bahawa Mo-lo-yeou ni tinggal di kawasan Sumatera utara dan timur (Jambi, Palembang, Pasai, Barus), Tanah Melayu dan Tangjung Pura. Secara dasarnya ‘Melayu’ in bersifat setempat dan seperti suku kaum bagi kawasan itu. Ada mengatakan bahawa mereka ini ialah Melayu Kuno yang secara amnya tidak mempunyai sistem tulisan malah bahasa mereka pun sangat ringkas dan tidak rumit dari segi tatabahasanya. Malah dilaporkan juga bahawa mereka hidup bersuku-sukuan dan mempunyai ketua yang berbeza-beza di mana tiada kesatuan politik. Selepas Islam, orang Arab memanggil bangsa Melayu (mempunyai maksud yang berbeza selepas Islam) dengan panggilan Bani Jawi kerna mengikut kebiasaan bagi bangsa Arab untuk memanggil bangsa lain mengikut tulisan masing2. Ada tulisan mereka menafikan bahawa apabila dituturkan Bani Jawi tiadalah sama dengan Bangsa Jawa.

Pembahagian Masa PengIslaman Tamadun Melayu
Setelah dibahagikan kepada pra-Islam dan selepas Islam, perlulah kita membahagikan lagi masa selepas Islam itu merujuk kepada pembahagian masa pengIslaman Kepulauan Melayu. Pengislaman Kepulauan Melayu boleh dibahagikan kepada EMPAT tahap; Tahap I (akhir abad ke 7 – 12 Masihi), Tahap II (abad ke 12 – 16 Masihi), Tahap III (abad ke 16-17 Masihi) dan tahap IV (selepas abad ke 17 Masihi).

Kepentingan sesuatu itu dilihat kepada permulaan bagi perkara tersebut. Begitu jua dengan pengIslaman Kepulauan Melayu, tahap I itu melambangkan sama ada berjaya atau tidak Islamisasi tersebut. Apa yang kita perlu faham utk tahap I ini?

Tahap I (akhir abad ke 7 - 12 Masihi)
Tahap I ini sangat awal kerna ianya pada akhir abad ke 7 iaitu merupakan zaman awal kedatangan Islam dan bagaimana kita mengetahui bahawa Islam telah sampai di bahagian dunia ini sejak zaman Rasulullah lagi? Di dalam Islam, untuk upacara pengebumian jenazah, tradisinya kita perlu menggunakan air kapur barus untuk menghilangkan bau jenazah tersebut. Berdasarkan sejarah terdapat satu tempat bernama Barus atau digelar Fansur oleh orang Arab yang menghasilkan kapur yang terkenal dengan ketinggian mutu dan kualitinya. Apabila kita memikirkan secara logik, dengan keperluan agama untuk mendapatkan bahan kapur ini, sudah tentu Rasulullah mengetahui tempat bernama Barus ini. Malahan dengan tanggungjawab untuk menyampaikan da’wah, sudah pasti Rasulullah akan menghantar sahabat Baginda untuk berda’wah di kawasan tersebut juga. Barus ini terletak di sebelah Barat Laut Sumatera. Secara logiknya, dapatlah dikatakan bahawa pasukan da’wah itu telah sampai seawal Nabi masih hidup lagi.

Menjadi keperluan kita untuk merujuk salah satu sumber Tamadun Melayu ya’ni Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebagai mengukuhkan lagi kedatangan da’wah tersebut. Disebutkan di dalam Sulalatus Salatin itu bahawa terdapat hadis yang mengatakan Nabi telah bersabda menyuruh sahabat untuk berda’wah di tempat bernama Samudra iaitu Sumatra di masa nanti. Selain itu Baginda berpesan supaya sebelum tiba di Sumatera, disuruh supaya singgah di Menggiri dan membawa seorang Fakir dari sana ke Sumatera. Malah dinyatakan bahawa “Sharif di Makkah menerima khabar mengenai negeri bawah angin yang digelar Samudera. Selepas itu Khalifah Sharif mengarahkan sepasukan da’wah dihantar ke sana”. Terdapat sumber daripada al-Dimashqi yang meriwayatkan bahawa pasukan da’wah pertama telah dihantar pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Jika ini benar dan sama seperti apa yang dilaporkan oleh Sulalatus Salatin makanya kita boleh mengemukakan pandangan bahawa Sharif itu berasal daripada Makkah dan Khalifah Sharif itu berada di Madinah dan Khalifah itu ialah Saidina Uthman. Namun begitu ada juga yang mengemukakan teori bahawa paling awal adalah ketika zaman Bani Umayyah di mana ketika itu Bani Alawi/Alid telah dihalau besar-besaran oleh Bani Umayyah dan kebanyakan mereka telah lari ke Champa dan kepulauan Melayu. Di sini kita ingin mengetahui bahawa siapa Bani Alawi ini? Mereka ini merupakan keturunan Ali ya’ni Hassanid di Makkah dan Husainid di Madinah. Di sini secara tidak langsung mengiyakan kenyataan Sulalatus Salatin berkenaan Sharif di Makkah dan Khalifah Sharif di Madinah. Malahan di dalam Sulalatus Salatin ada menyatakan bahawa penda’wah itu keturunan Saidina Abu Bakar bukannya Ali tetapi perlu diingatkan bahawa ketika Tun Sri Lanang menulis manuskrip tersebut, Syiah telah menunjukkan makarnya maka pada pendapat Al-Attas, di atas sebab untuk mengelakkan sengketa berlaku, ada kemungkinan kandungan teks telah diubah daripada Saidina Ali kepada Saidina Abu Bakar. Namun begitu ianya tidak menafikan bahawa penda’wah itu berasal daripada keturunan Quraish. Untuk mengukuhkan lagi pendapat bahawa orang Arab Islam telah hadir ke Kepulauan Melayu seawal akhir abad ke 7 ialah melalui sumber Cina yang mengatakan pada Zaman Dinasti Tang (671 Masihi), telah diriwayatkan bahawa terdapat penempatan Arab yang diketuai oleh raja Arab atau putera Arab telah wujud di pantai barat Sumatera. 

Polemik Nama Sumatera
Selepas mengetahui keadaan seawal mana kedatangan pertama penda’wah, kita akan cuba merungkai pula asal-usul nama Sumatra. Polemik nama Sumatra ini berlaku apabila sarjana2 Belanda mengaitkan nama itu dengan nama Samudra. Ini berdasarkan sejarah Tamadun  India yang memanggil Kepulauan Melayu sebagai Suwarnabhumi kerana Sumatra ini dikelilingi oleh laut (Samudera). Namun begitu penulis tersebut telah mengatakan bahawa nama Sumatera ini tidak berkaitan langsung dengan nama India Sanskrit tetapi merupakan kesan daripada kedatangan Islam ke Kepulauan ini. Mengapakah sedemikian? Jika kita merujuk kembali kepada kisah Merah Silu di dalam Sulalatus Salatin dikhabarkan bahawa setelah Merah Silu mendapat kekuatan luar biasa, iaitu apabila beliau merebus gelang getah yang ditemuinya akan menjadi emas dan perak, beliau telah pergi ke suatu tempat dan telah menemui seekor semut yang sebesar kucing lalu dimakannya semut itu. Seterusnya beliau telah menamakan tempat itu sebagai SEMUTRA yang berasal daripada perkataan semut raya (semut yang besar). Namun begitu nama Sumatra ini tidak wujud seawal abad ke 7 lagi, ianya bermula pada abad ke 13-16 Masihi. Ini dapat dikenalpasti apabila pada zaman bani Umayyah, kawasan empayar Sumatera dan Empayar Jawa digelar sebagai Zabaj oleh Bani Umayyah. Nama Sumatra ini mula digunakan apabila tulisan Arab yang kemudian memanggil dengan nama Samatar, Samatra, Shumutra ataupun Sumutra. Malahan sumber Cina (1403) memanggilnya dengan nama Sumentala. Ini yang menjadi pelik mengapa sarjana2 Belanda masih berdegil mahu menggunakan nama Samudra walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa tiada huruf ‘d’ di dalam ejaan mereka. Ini kerana sarjana ini mengatakan bahawa kisah Merah Silu ini merepek dan merapu lebih2 lagi kisah beliau memakan semut besar itu. Sarjana2 ini lebih suka mengaitkannya dengan hikayat Dinasti Pala yang mengatakan mengenai bangsa Samudera yang tinggal di dasar laut. Pada pendapat penulis kaitan itu lebih merapu dan tidak masuk akal berbanding semut raya itu kerana mengikut catatan Buzurg Ibn Shahriyar pada abad ke 10M ada mencatatkan mengenai semut yang besar terdapat di Sumatera. Di dalam kisah itu juga dinyatakan pengIslaman Merah Silu yang boleh dikaitkan juga berkenaan dengan seluruh pulau itu dinamakan Sumatra selepas abad ke 14 sahaja. Ini kerana sebelum itu, Sumatera merujuk kepada kerajaan Melayu Islam pertama di Pasai pada abad ke 9-10 Masihi. Penamaan pulau itu sebagai Sumatera setelah seluruh pulau berjaya diIslamkan menunjukkan penamaan itu untuk memperingati tertubuhnya kerajaan Islam pertama di Sumatra. 

Siapa Raja Melayu Islam Pertama?
Di dalam Sulalatus ada dinyatakan Merah Silu menjadi Sultan pertama dan digelar Al-Malik AL Salih tetapi siapakah sebenarnya Merah Silu? Diceritakan bahawa al-Malik Al Salih meninggal dunia pada tahun 1296 M dan beliau merupakan raja Melayu Islam pertama. Namun begitu perkara ini sangat disangsikan kerana di sekitar makam Al Malik Al Salih terdapat juga makam Al Malik Al Kamil yang meninggal lebih awal lagi iaitu tahun 1210M. Ini menimbulkan pertanyaan mengenai status Al Malik Al Salih sebagai raja pertama. Maka ini satu teori diajukan oleh Al-Attas iaitu Sultan pertama ialah Sultan Muhammad atau disebut al-Fakir di dalam Sulalatus Salatin itu yang berasal daripada Menggiri (Monghyr) yang dikatakan sebagai keturunan Saidina Abu Bakar. Namun demikian seperti yang dinyatakan di atas, ada kemungkinan beliau sebenarnya keturunan Saidina Ali. Mengapa? Mengikut Al-Mas’udi (911) mencatatkan bahawa di Menggiri terdapat lebih daripada 10000 orang Arab yang berketurunan Quraish tulen. Jadi siapakah Merah Silu itu? Teorinya Merah Silu itu hanyalah watak khayalan semata sebagai cara penyampaian jalan cerita ketika Islam belum bertapak kuat lagi dan dalam cubaan untuk menunjukkan keluarbiasaan orang melayu ketika mereka menyahut panggilah shahadah. Mengapakah Merah Silu bukan orang Melayu? Ini kerana mengikut hadith ada dinyatakan pemilihan Imam yang meliputi semua bidang perlulah dipilih daripada kalangan Quraish. Sebagai Imam menjadi tanggungjawabnya untuk mempunyai pengetahuan yang kukuh tentang agama Islam dalam upayanya untuk mentadbir negara Islam. Jadi sudah tentulah Merah Silu yang baru masuk Islam tidak mampu dan tidak berpengetahuan lengkap untuk mentadbir negara mengikut acuan Islam itu sendiri. 

Selain itu, bukti akan kedatangan Islam seawal akhir ke 7 M ialah tertubuhnya Raja Muslim pertama kerajaan Samudra-Pasai iaitu pada abad ke 9-10 M. Untuk tertubuhnya sesuatu kerajaan perlunya untuk pengIslaman beramai masharakat setempat dan ini memerlukan masa yang panjang dan secara tidak langsung terbukti akan kedatangan Islam seawal akhir abad ke 7. 

Kekeliruan Akan Adat Penabalan Raja Melayu
Perkara yang melambatkan tahap kedatangan Islam ke kepulauan mengikut sarjana2 belanda ialah apabila kekeliruan yang dilakukan secara tidak sengaja oleh Ibn Battuta terhadap adat Melayu. Ibn Battuta telah melawat kerajaan Pasai pada tahun 1345/6 M dan telah dikhabarkan kepada beliau bahawa Raja yang memerintah ialah al Malik Al-Zahir dan disebabkan itu al-Malik al-Zahir telah dianggap sebagai cucu al-Malik al-Salih untuk memuat-padankan dengan rekod catatan Ibn Battuta. Akan tetapi yang menghairankan ialah al-Malik al Zahir meninggal pada tahun 1326 M lebih awal daripada kedatangan Ibn Battuta. Ini sepatutnya anak baginda Sultan Ahmad yang pada 1345M berumur 26 tahun telah ditabalkan sebagai Raja menggantikan bapanya tetapi mengapa bukan itu yang dikhabarkan kepada Ibn Battuta oleh masharakat setempat? Ini kerana mengikut catatan di batu nisan, anak al-Malik al-Zahir iaitu Sultan Ahmad telah digelar sebagai abi Zayn Al-Abidin bermaksud ayah kepada Zayn AL-Abidin. Mengikut batu nisan ini dapatlah disimpulkan bahawa mengikut adat Melayu, seseorang bakal raja itu hanya boleh ditabal jika baginda mempunyai anak lelaki. Oleh sebab itu ketika Ibn Battuta melawat Pasai, Raja yang ditabalkan masih lagi al-Malik al-Zahir walaupun baginda sudah meninggal dunia disebabkan Sultan Ahmad yang ketika itu berumur 26 tahun tidak mempunyai pewaris lagi. 

Kekeliruan pengasas kerajaan Melayu Melaka
Sekarang saya akan bergerak ke arah perkara ketiga iaitu kekeliruan pengasas kerajaan Melayu Melaka. Siapa pengasas kerajaan Melayu Melaka? Ini tidak lain tidak bukan ialah Parasmewara. Siapakah Parameswara ini? Malah siapa pula Adityarman? Pertamanya kita perlu mengetahui bahawa Adityarman merupakan raja bagi kerajaan Minangkabau yang merupakan sekutu bagi Kerajaan Majapahit. Pada zaman itu, Kerajaan Majapahit merupakan kerajaan Jawa yang sangat kuat dan setelah melakukan rampasan kuasa, cucu kepada pengasas iaitu Hayam Wuruk bersama dengan Gadja Mada ingin meluaskan pengaruhnya terutamanya ke arah kawasan Melayu. Dalam usaha mereka itu, sebuah puisi istimewa telah dibentuk dan dinamakan Kertanagara (1363-1365M) sebagai cara untuk menunjukkan kekuasaan dan mendapatkan kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada kerajaan Melayu. Yang perlu difokuskan ialah mengenai kenyataan bahawa putera Melayu yang belia telah datang ke istana Majapahit dan setelah diberikan pengiktirafan untuk menjadi Raja di Palembang telah dihantar pulang menjadi wakil Kerajaan Majapahit. Di sini ramai sarjana2 menganggap bahawa Putera raja itu ialah Adityarman sedangkan jika diteliti puisi itu dinyatakan bahawa putera raja itu seorang belia dan pada ketika puisi itu dihasilkan Adityarman berumur 40 tahun sedangkan Parameswara ketika itu berumur 20 tahun. Makanya disangsikan erti muda itu bersamaan dengan 40 tahun yang menyebabkan kesangsian pada Adityarman sebagai putera raja itu. Selain itu dinyatakan juga bahawa putera itu telah diiktiraf sebagai raja untuk kerajaan Melayu di Palembang itu dan menjadi wakil bagi kerajaan Majapahit dan seperti dinyatakan di atas, Adityarman merupakan sekutu bagi Kerajaan Majapahit dan ini tidak memerlukan kepada pengiktirafan untuk menjadi raja. Manakala berdasarkan hasrat Hayam Wuruk untuk melebarkan pengaruhnya di kawasan Melayu makanya dengan itu perlulah beliau mendapatkan sumpah setia daripada raja Melayu dan ini amat sepadan dengan keberadaan Parameswara dan isi puisi itu. Malah dinyatakan juga bahawa Palembang merupakan kerajaan yang perlu membayar ufti kepada kerajaan Majapahit dan ini tidak dilakukan oleh kerajaan Minangkabau yang diperintah oleh Adityarman. Setelah kita mengetahui keberadaan Parameswara itu sebagai raja Melayu di Palembang, perlulah kita mengetahu kebenaran di atas nama Parameswara itu sendiri. Parameswara dikatakan sebagai nama individu namun dinyatakan juga bahawa Parameswara ketika beliau berada di Majapahit, beliau telah dikahwinkan dengan Parameswari/Puteri mahkota yang merupakan anak saudara Hayam Wuruk sebelum beliau balik ke Palembang. Perkara ini yang menarik minat kerana Parameswari merupakan pangkat di dalam kerajaan Majapahit kepada seseorang wanita berdarah diraja. Secara tidak langsung mengatakan bahawa nama Parameswara itu merupakan pangkat yang diberikan setelah beliau mengahwini seorang Parameswari. Selain itu salah seorang putera mahkota bernama Wijayarajasa juga digelar sebagai Parameswara. Bukti lain yang mengatakan bahawa nama Parameswara bukan nama melainkan pangkat semata2 ialah berdasarkan sejarah India di mana terdapat seorang raja India Selatan dikenali sebagai Parameswarawarman sebagai nama individu dan inilah sepatutnya menjadi nama parameswara bukannya Parameswara. Dikatakan bahawa Parameswara tanpa warman dibelakang tidak boleh dijadikan nama individu. Kes ini juga terjadi buat Adityarman kerna nama Adityarman merupakan nama gelaran sedangkan nama sebenarnya ialah (Tuhan)Janaka. 

PengIslaman Parameswara
Setelah kita mengetahui akan keberadaan, kedudukan dan nama Parameswara, kita perlu menelusuri pula titik penting perubahan hidup Parameswara ya’ni pengIslaman beliau. Di dalam sejarah dikhabarkan bahawa setelah  beliau lama mendiamkan diri di Palembang telah mengangkat senjata dan memberontak kepada Kerajaan Majapahit  pada tahun 1376/7, berdasarkan sejarah dinasti Ming catatan Gerini, dalam tujuan untuk lepas dan bebas daripada jajahan takluk Kerajaan Majapahit. Kerajaan Majapahit yang tidak boleh menerima akan keadaan itu telah menyerang Palembang dan Parameswara telah mengundurkan diri malah menawan pula Temasik yang ketika kesetiaan Temasik kepada Kerajaan Majapahit sama seperti Palembang sebelum pemberontakan. Pemberontakan ini amat penting kerana sebab pemberontakan ini tidak jelas. Oleh itu disyorkan oleh Al-Attas bahawa pemberontakan ini asasnya kepada setelah Islamnya Parameswara kerana di dalam Islam, tidak dianjurkan untuk duduk dibawah pemerintahan bukan Islam. Makanya Parameswara telah memberontak dalam usaha untuk membentuk kerajaan Islam yang bebas daripada pengaruh Kerajaan Majapahit. Namun begitu apa buktinya akan pengIslaman Parameswara itu? Dikhabarkan oleh sumber Cina iaitu “Book 324 of the History of The Ming Dynasty (1368-1643)” bahawa telah datang seorang putera raja Melayu pada tahun 1377M meminta pengiktirafan daripada Maharaja China untuk menabalkan beliau sebagai Raja di Palembang. Beliau telah kembali ke Palembang untuk menunjukkan penabalan itu kepada Kerajaan Majapahit malah beliau memakai nama Maharaja Puri yang diberikan oleh Maharaja China sebagai menunjukkan bahawa beliau setaraf dengan Raja Majapahit. Kerajaan Majapahit yang begitu marah dengan tindakan itu telah menyerang Palembang sehingga Palembang tidak mampu lagi menjadi pusat pelabuhan yang berjaya. 

Sekarang perlu kita melihat kepada nama Maharaja Puri itu, dikhabarkan oleh Pires melalui sumber Jawa yang mengatakan bahawa Parameswara telah menukar nama beliau dan beliau telah digelar sebagai Maesura yang ada kaitan dengan Tuhan Siva yang menunjukkan bahawa Parameswara ingin memutuskan hubungan dengan Kerajaan Majapahit. Pemutusan itu adakah hanya sekadar hubungan jasad sahaja? Sekarang perlu diteliti ma’na PURI itu sendiri. Puri itu berasal daripada perkataan ‘purusha’ ataupun dipanggil sebagai pusat sesuatu benda baik pusat pemerintahan, pusat keagamaan mahupun pusat pertahanan. Oleh itu jika ingin mengambil kira penamaan itu sebagai pemutusan jiwa juga, disebabkan ma’na purusha itu merujuk jua kepada keagamaan, makanya bolehlah dinyatakan bahawa Parameswara telah juga memutuskan hubungan keagamaan dengan Kerajaan Majapahit yang pada zaman itu menganut agama Hindhu dan ini menunjukkan bahawa Parameswara telah memeluk Islam. Ini disahkan oleh Pires yang mengatakan bahawa Sultan Ahmad daripada Kerajaan Pasai begitu ingin sangat mengIslamkan Parameswara. Malah dikhabarkan bahawa Parameswara telah mengahwini puteri Sultan Ahmad setelah memeluk Islam namun begitu adakah beliau memeluk Islam setelah sampai ke Melaka ataupun sebelum itu? Dengan menjawab persoalan ini akan mengukuhkan lagi bahawa Parameswara telah memeluk Islam semasa beliau masih lagi di Palembang dan ini merupakan sebab kepada pemberontakan tersebut. Al-Attas mencadangkan ruang masa di antara 1376-1392M dan semestinya sebelum 1404M kerana Sultan Ahmad ketika Ibnu Battuta datang melawat pada tahun 1345/6 berumur 26 tahun dan ketika itu beliau masih lagi tidak mempunyai waris, makanya peristiwa itu mengahwinkan puterinya kepada Parameswara mestilah berlaku sekurang2nya 30 tahun kemudian selepas lawatan Ibn Battuta dan semestinya sebelum kematian Sultan Ahmad ya’ni pada tahun 1406M. Perkahwinan boleh dikatakan berlaku pada awal ruang masa pertama kerana apabila ditelusuri pemberontakan beliau, pemergian ke China untuk penabalan dan juga penukaran nama pada tahun yang sama menunjukkan yang beliau telah masuk Islam ketika perkahwinan itu atau mungkin sebelum perkahwinan itu. Setelah itu, Parameswara telah menubuhkan kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1404M dan memerintah sehingga 1424M. Dalam waktu itu dikhabarkan bahawa beliau yang kini dikenali sebagai Sultan Iskandar Syah telah menghantar utusan kepada Kerajaan Majapahit dengan mengatakan bahawa Parameswara telah mati. Ada yang mengambil perkara ini selapis sahaja dan mengatakan bahawa Sultan Iskandar bukan Parameswara tetapi perlu diingatkan bahawa Parameswara seseorang yang berpandangan jauh dan berdiplomasi di dalam pemerintahan beliau dan ini menyebabkan Melaka dengan cepatnya menjadi tumpuan dunia dan mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan sekeliling. Dengan kepintaran beliau berdasarkan tindakan beliau dengan Maharaja China itu dapatlah ditafsirkan bahawa utusan memberitakan kematian Parameswara itu merupakan cara untuk menunjukkan kepada Kerajaan Majapahit bahawa Parameswara yang lama sudah tiada lagi, marilah kita berbaik semula dan berurusan dari sebuah kerajaan kepada sebuah kerajaan. Ini secara tidak langsung menamatkan hikayat Parameswara dan menengahkan nama baru sebagai pengasas Kerajaan Melayu Melaka ya’ni Sultan Iskandar Syah yang merupakan Parameswara sendiri bukannya orang yang berbeza. 

PengIslaman Bahasa Melayu
Setelah diketahui keberadaan pengasas Kerajaan Melayu Melaka yang dengan tertubuhnya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Melayu telah membawa satu lagi perubahan penting pada Tamadun Melayu ya’ni pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca pada zaman itu. Bahasa Melayu yang tidak sama dengan bahasa Melayu Kuno yang bersifat bersuku2an, yang lebih menyeluruh, yang menyatukan suku2 kaum Melayu, Jawa malah ke Filipina ya’ni Bahasa Melayu yang telah mengalami Islamisasi. PengIslaman bahasa ini sangat penting kerana sepertinya bahasa Melayu telah diIslamkan, begitu juga bahasa Arab yang telah diIslamkan dengan terturunnya Al-Qur’an yang membentuk dan merobah seluruh semantik bahasa Arab mengikut acuan Al-Qur’an. Ini telah dibuktikan oleh buku “God And Man In The Qur’an” oleh Toshihiko Izutsu apabila beliau mengatakan betapa berterabur kata2 kunci penting bahasa Arab seperti perkataan Allah, malaikat, jin dan lain2 sebelum Al-Qur’an diturunkan. Apabila Al-Qur’an diturunkan kata2 ini telah diubah maksud asalnya malah ditambah maksud terbitan sehinggakan maksud terbitan sebelum Islam tidak digunakan lagi malah tidah difahami oleh orang Arab selepas Islam datang. 

Setelah difahami bahawa ini juga terjadi kepada bahasa Melayu, terdapat perkara yang menarik untuk difikirkan akan mengapa penda’wah memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar da’wah bukannya bahasa Jawa Kuno? Jikalau kita membuat perbandingan dengan pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa Islam berbanding bahasa Parsi Kuno, Yunani mahupun bahasa Romawi, kita akan nampak kebijaksanaan penda’wah yang hadir di Kepulauan Melayu ini. Pada ketika AL-Qur’an diwahyukan, bahasa Arab merupakan bahasa yang bukan estetik berbanding bahasa Parsi Kuno, Yunani dan Romawi. Bahasa estetik bermaksud bahasa yang mempunyai ma’na dan nilai agama, tahyul, falsafah, dewa2 dan bahasa Arab kontang dengan nilai tersebut. Ini sama juga dengan bahasa Melayu Kuno dengan bahasa Jawa Kuno. Bahasa Jawa Kuno mempunyai unsur Kejawaan dan Istilah2 Hindhu dan Buddha. Makanya Bahasa Melayu Kuno telah dipilih sebagai wadah da’wah di Kepulauan Melayu ini. Setelah kita mengetahui akan punca permulaan Bahasa Melayu makanya kita hendaklah mengetahui pengaruh ke atasnya. Ramai sarjana mengemukakan bahawa walaupun dipengaruhi agama Islam, Bahasa Melayu dipengaruhi oleh bahasa Arab, Parsi, India dan Cina berdasarkan penda’wah yang tiba di kepulauan Melayu daripada Arab, Parsi, India dan Cina. Di sini ingin dikemukakan bahawa Bahasa Melayu dipengaruhi oleh bahasa Arab dengan hebatnya berbanding bahasa Parsi, India mahupun bahasa Cina. 


Ini dapat dibuktikan berdasarkan:-

1) huruf Jawi
2) nama hari
3) Sebutan Bahasa Arab
4) Nama Melaka
5) Nama2 orang melayu 

Berdasarkan lipatan sejarah Tamadun Melayu, diselitkan nama2 Melayu yang menggunapakai nama2 Arab berbanding nama2 Parsi, India ataupun Cina. Selain itu huruf Jawi itu menggunakan huruf Naskhi ya’ni aksara kursif Arab bukannya yang lain.  Huruf Jawi merupakan huruf2 Arab dan 5 lagi huruf tambahan atau terbitan daripada huruf Arab untuk bunyi tambahan daripada bahasa Melayu seperti cha, nga, nya, pa dan ga. Huruf pa yang asalnya daripada gabungan huruf fa dan ba menghasilkan huruf fa bertitik tiga di atas menunjukkan ianya berasal daripada Arab Hadrami berbanding Arab lain dan Parsi di mana huruf pa itu berasal dari gabungan yang sama namun ditulis sebagai ba bertitik tiga. Ini secara tak lansung membezakan bunyi bacaannya ya’ni orang Arab Hadrami akan membunyikan perkataan pukul sebagai fukul manakala yang lain akan jadi bukul. Perbezaan ini disebabkan mengikut Ibn Khaldun ialah mengikut kesesuaian lidah penutur dimana Arab Hadrami lebih mudah menyebut fa berbanding ba makanya fukul berbanding bukul. Di sini ditunjukkan kaitan mengapa huruf pa bahasa Melayu ditulis dengan huruf fa bukan ba. Manakala bagi huruf cha, orang Melayu menggabungkan huruf ta dengan jim menghasilkan huruf jim bertitik tiga manakala bagi orang Parsi menggunakan huruf shin dengan jim. Malahan di dalam Sulalatus Salatin ada menyebut bahasa seorang penda’wah digelar Maulana Sardar Jahan yang merupakan gelaran orang bangsawan Parsi tetapi yang menghairankan ialah Maulana ini menyebut perkataan kuching sebagai kushin; manakala nuruf nya disebutnya nyiru sebagai niru yang merupakan kesalahan biasa bagi orang Arab berbanding orang Parsi kerana bahasa Parsi sudah mempunyai huruf cha itu makanya sudah tidak menjadi masalah untuk beliau menyebut huruf ch.  Setelah ini dibuktikan makanya kita telah mengkhususkan lagi pengaruh itu ya’ni ianya bukan setakat orang Arab tetapi Arab Hadrami yang tinggal di Selatan Semenanjung Tanah Arab. Selain itu nama hari sendiri diambil daripada bahasa Arab yaitu Ahad (Ahad), Isnin (Ithnayin), Selasa (thalathah), Rabu (Rabu), Khamis (Khamis), Jumaat (Jum’ah) dan Sabtu (Sabt). Yang paling menarik sekali ialah perkataan Rabu itu kerana mengikut kebiasaan orang Arab ialah Rabu itu dipanggil Arba’ah tetapi hanya Arab Hadrami memanggilnya dengan Rabu. Jika kita meneliti bahasa Arab yang dipelajari dan dituturkan oleh orang Melayu hingga masani akan terlihat kemiripan bunyinya kepada orang Arab berbanding orang Parsi ataupun Urdu.

Pembetulan Arti Nama Melaka
Akhir sekali dan yang paling penting sendiri ialah nama Melaka itu kerana nama Melaka itu yang difahami sekarang amat berbeza dengan ma’na sebenarnya. Mengikut cerita Sulalatus Salatin, Sultan Iskandar Syah ketika sedang berburu telah berehat di satu kawasan. Ketika berehat itu, telah berlaku pertarungan di antara anjing buruan beliau dengan seekor kancil di mana anjing itu telah ditendang masuk ke dalam sungai. Setelah menyaksikan keajaiban tersebut beliau telah bertanyakan nama pokok yang beliau tengah berteduh itu dan dengan keajaiban tersebut beliau ingin mendirikan kerajaan di situ dan dinamakan kerajaan itu dengan nama pokok tempat berteduh itu iaitu Melaka.  Sekarang adakah nama Melaka itu memang berasal daripada pokok? Berdasarkan tulisan Tome Pires, beliau telah menulis nama Melaka dengan ejaan Malacca dengan dua c menandakan huruf gantian bagi huruf untuk menyamakan bunyian itu dengan huruf2 bagi bahasa beliau. Malah beliau sendiri pernah mengeja Melaka sebagai Malaqa namun akhirnya menjadi Malacca kerana q sukar disebut dengan bahasa beliau. Jika beliau menulis dengan satu c makanya ia menggantikan huruf k. Jika diperhatikan di dalam teks Malayo-Arab (Jawi), ianya dieja dengan qaf bukannya dengan kaf tetapi disebabkan huruf kaf lebih mudah dengan lidah orang Melayu makanya disebut Melaka bukannya Malaqa. Malahan, sumber Arab seperti Ahmad Ibn Majid (1462) dan Sulayman al-Mahri (1511) menulis nama Melaka menggunakan huruf qaf. Al-Attas mengemukakan teori bahawa nama Melaka itu diambil daripada perkataan Malaqa yang berasal daripada perkataan laqiya yang bermaksud pelabuhan, perjumpaan dan mesyuarat di mana Melaka itu sendiri berjaya menjadi pelabuhan yang terkenal dan tempat perjumpaan yang sibuk. Ini diambil daripada teori Ibn Khaldun berkaitan nama Malaga di Morrocco di mana perkataan Malaga itu bermaksu pelabuhan jua dimana berasal daripada Malaqa namun begitu orang Berber lebih mudah menyebut huruf g makanya terhasil perkataan Malaga. Mengapa bukan berasal daripada nama pokok? Ini kerana pengkaji botani sendiri menghadapi masalah untuk menentukan nama pokok tersebut sama ada pokok laka-laka ataupun pohon cermai. Pokok laka-laka nampak dekat dengan nama Melaka tetapi ianya pokok jantan dan tidak menghasilkan buah. Namun begitu pokok cermai pula mempunyai buah tetapi masharakat Melayu memanggilnya sebagai buah cermai dan jika dikaitkan dengan buah Melaka, masharakat Melayu memahami buah Melaka sebagai sejenis kuih muih. Di sini dapat dilihat kekeliruan dalam menentukan pokok apa sebenarnya pokok Melaka kerna pokok ini mempunyai banyak jenis dan berbeza satu sama lain. Oleh itu diputuskan bahawa cerita mengenai penamaan nama Melaka itu sebenarnya ingin ditekan simboliknya kepada babak anjing buruan ditendang si kancil. Penamaan nama kerajaan merujuk kepada sejenis pokok merupakan amalan orang Melayu dan Jawa di mana satu2 peristiwa penting seperti penamaan kerajaan dinamakan berdasarkan nama pokok. Sebagai contohnya Kerajaan Majapahit, setelah berjaya merampas kuasa dan menubuhkan kerajaan baru, pengasas Kerajaan itu telah menamakan kerajaan beliau sebagai Majapahit yang diambil daripada nama pokok Maja di mana buah pokok itu pahit makanya digabungkannya menjadi Majapahit. Di sini nampaklah keterkaitan di antara nama Melaka dengan simbolik pokok tempat berteduh Sultan Iskandar Syah. 


PengIslaman Kepulauan Melayu-Indonesia – Siapa ‘pioneer’
Setelah kita tahu apa yang mempengaruh pengIslaman bahasa Arab kita perlulah juga tahu siapa yang mengIslamkan Kepulauan Melayu. Seperti biasa teorinya berdasarkan penda’wah yang tiba sama ada daripada Arab, India, Parsi, China, Bengali? Seperti jua ingin ditekan pengaruh bahasa Arab makanya semestinya orang Arablah ‘pioneer’ kepada pengIslaman orang melayu. Di sini ingin lebih dikhususkan bahawa orang Arab yang dimaksudkan ialah Arab Hadramawt. Ini dibuktikan dari segi bahasa Melayu seperti yang saya utarakan di atas. Malahan lagi ingin saya khususkan lagi kepada Bani Alawi sebagai pencetus dan penggerak kepada pengIslaman bangsa Melayu berbanding orang lain. PengIslaman oleh bani Alawi ini lebih terasa kesannya pada tahap II PengIslaman Tamadun Melayu. Mengapakah dikatakan bani Alawi bukannya bangsa Arab lain? Ini berdasarkan penggunaan perkataan Sejarah oleh orang Melayu untuk merujuk kepada “History” berbanding Tarikh yang lebih digemari untuk digunakan oleh orang Arab. Tarikh itu mengikut bahasa Arab ialah sejarah mengikut kronologi yang di mana perkataan tarikh itu difahami orang Melayu sama seperti apa yang orang Arab faham. Berdasarkan bahasa Arab, Sejarah berasal daripada perkataan Shajarah bermaksud pokok tetapi ini bukan sebarang pokok tetapi merujuk kepada ‘family tree’ ataupun salasilah keturunan. Orang Arab sangat mementing salasilah keturunan mereka terutamanya keturunan Al-Hassan dan Al-Husayn dimana penjagaan keturunan ini sangat teliti dan rapi. Ini secara tidak langsung mempengaruhi orang Melayu dengan terhasilnya Sulalatus Salatin yang merujuk kepada Salasilah Perteturun Segala Raja-raja ataupun dipanggil Sejarah Melayu.  Malah dalam sejarah Melayu sendiri menyebut penda’wah Islam itu merupakan keturunan Saidina Abu Bakar yang secara jelas menunjukkan penda’wah merupakan keturunan Arab bukannya Parsi malah India mahupun China. 

Berkenaan dengan penda’wah Islam yang secara khususnya berketurunan Bani Alawi ialah berdasarkan sumber2 Arab mengatakan bahawa terjadinya dua kali perpindahan besar-besaran bani Alawi daripada Semenanjung Tanah Arab ke kawsan Champa dan Kepulauan Melayu. Pertama kalinya terjadi pada tahap I pengIslaman Kepulauan Melayu di mana mereka dihalau oleh kerajaan Umayyah disebabkan sokongan mereka terhadap Ali tetapi harus diingatkan di sini bahawa ketika ini Syiah tidak terbentuk lagi dan bani Alawi ini merujuk kepada keturunan Saidina Ali. Perpindahan kedua yang lebih besar berlaku ketika tahap II di zaman Kerajaan Bani Abbasiyyah yang dinyatakan oleh sumber Arab terutamanya pada abad ke 12 menyebabkan kadar pengIslaman di kepulauan Melayu menjadi pesat lagi. Selain daripada itu, pentingnya untuk menunjukkan keberadaan bani Alawi ini di kepulauan Melayu ini dengan melihat populasi Sayyid dan Sharif masani. Berdasarkan buku Shajarah Al-Sadah Bani Alawi oleh Rabital Al-Alawiyah di Jakarta mengatakan bahawa populasi Sayyid dan Sharif terdapat di dua kota suci, Kaherah dan juga Kepulauan Melayu. Malahan Kepulauan Melayu mencatatkan populasi yang paling tinggi berbanding tempat2 lain dengan dijumpai terdapat 40 kerabat Sayyid di kepulauan Melayu ini dimana lebih daripada sejuta orang tergolong dalam kerabat ini. 

Sepertimana setiap tamadun mempunyai pusat pemerintahan, Tamadun Melayu Islam juga mempunyai pusat pemerintahannya di mana ketika tahap I, pusat pemerintahan itu berada di Pasai. Apabila di tahap kedua, pusatnya telah berpindah ke Melaka dan pada tahap ketiga, pusat pemerintahan telah bertapak di Acheh dan Johor-Riau. Namun begitu setelah abad ke 17M iaitu tahap ke-empat, tiada pusat pemerintahan. 

Akhir kata
Setiap tulisan mempunyai tujuan, di sini kita haruslah melihat kesan PengIslaman Kepulauan Melayu-Indonesia-Filipina. Kesannya ialah dapat dilihat bahawa Islam hadir di sini bukannya dalam bentuk ketenteraan tetapi sebagai misi da’wah semata2. Selain itu buat pertama kalinya di dalam sejarah kepulauan ini ialah penyatuan semua kepulauan ini dari Sumatra, Tanah Melayu, Pulau Jawa, Bornea sehingga ke Filipina disatukan sebagai satu bangsa yang sama iaitu bangsa Melayu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu dimana kesatuan ini tidak kelihatan pra-Islam. Pembentukan bahasa Melayu baru dan juga bangsa Melayu baru yang berdiri atas sifat yang lebih universal bukannya bersifat setempat sahaja. Malahan dengan pengIslaman tersebut perdagangan yang dengan skala lebih besar berlaku berbanding sebelumnya. Tahap III pengIslaman menyaksikan kemunculan pemikir2 besar orang Melayu seperti Hamzah Fansuri, Shams al-Din Al-Sumatra, Nur al Din Al-Raniri, Abd Rauf Sinkili, Yusuf Al-Maqasari dan Muhammad Nafis Al-Banjari. Semua pemikir ini telah memulakan pemikiran intelektual di dalam hidup orang Melayu dan juga telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu Moden yang tidak lagi terpengaruh dengan unsur2 mistik, tahyul, Hindhu dan Buddha. 



Mengapakah pentingnya untuk mengetahui akan Sejarah Islamisasi Tamadun Melayu ini? Kepentingan mengetahui bahawa Islam hadir seawal zaman Nabi lagi dan pentingnya mengetahui bahawa kembalinya pengaruh Hindhu-Buddha masani berlaku ketika zaman penjajahan. Malahan untuk menunjukkan hubung-kait kemunculan bangsa Melayu ini dengan kehadiran Islam. Tulisan ini juga diharap dapat membetulkan kesilap-fahaman bahawa Melayu tidak berjaya diIslamkan sepenuhnya sedangkan penda’wah yang hadir merupakan yang hebat2 belaka ya’ni merupakan keturunan Nabi sendiri.

Kesimpulannya, sejarah yang dipesong2kan akan meranapkan jati diri sesuatu bangsa tersebut dan jika merujuk kepada bangsa Melayu, kepesongan sejarah yang tidak ditekankan peri penting Islam dalam membentuk tamadun Melayu itu akan menyebabkan jati diri Melayu itu dibenci sedangkan jati diri Melayu itu merupakan penyambung kepada agama Islam itu sendiri. 

Rujukan:-
1) (1972) Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia) – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
2) (1978) Islam and Secularism (Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM); reprint, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1993) – Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
3) (2011) Historical Fact and Fiction (Kuala Lumpur, Malaysia: UTM Press) – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4) (1964) God And Man In The Qur’an ( Japan: Keio University) – Toshihiko Izutsu
5) Malay Civilization is an Islamic Civilization 2013 IIUM presented by Wan Ahmad Fahysal
 

Comments

Popular Posts