ULASAN BUKU : SIAPA YANG SALAH. SEKITAR REVOLUSI MENTAL DAN PERIBADI MELAYU.




ULASAN BUKU : SIAPA YANG SALAH. SEKITAR REVOLUSI MENTAL DAN PERIBADI MELAYU.
PENULIS : SYED HUSSEIN Al-ATAS

Buku ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pendahuluan dan Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu.
SHA (Syed Hussein Al-Atas) menulis makalah ini sebagai satu jawapan reaksi kepada buku Revolusi Mental. Beliau telah mengkritik daripada awal sehingga akhir permasalahan yang ditimbulkan oleh Revolusi Mental terutama kecaman yang dibuat oleh mereka (penulis seramai 14 orang) terhadap peribadi Melayu yang dianggap punca kemunduran orang Melayu; seperti sikap pemalas, tidak menepati masa, dan tidak menggunakan akal. Pada pendapat beliau, kekurangan yang ada pada orang Melayu mahupun gambaran yang diberikan oleh penjajah kepada orang Melayu bukanlah peribadi orang Melayu melainkan yang dimomokkan oleh penjajah dan diteruskan oleh pengikut-pengikut setia mereka. Berkemungkinan memang terdapat segelintir yang berperangai sedemikian namun itu tidak mewakili sifat umum bangsa itu malah sifat itu juga terdapat pada bangsa-bangsa lain. Jika semua sikap buruk itu memang merupakan peribadi Melayu sudah pasti Melayu tidak wujud lagi di dunia.
Penulis juga mengkritik pemikiran Dr Mahathir di dalam buku beliau The Malay Dilemma yang sama dengan revolusi Mental dan penjajah namun lebih teruk daripada mereka. Ini dapat dilihat di dalam perenggan ini :-
“Dengan pendapat demikian Dr Mahathir telah merendahkan peribadi Melayu, lebih daripada Revolusi Mental dan lebih daripada penjajah Inggeris. Penjajah Inggeris gemar menggambarkan peribadi Melayu sedemikian.”
Buku ini sebenarnya secara ringkas bersifat oksidentalis sebagai cubaan menangkis serangan orientalis kepada bangsa Timur ini. Oleh itu fakta-faktanya diterangkan sepintas lalu tanpa sempat diterangkan dengan lebih baik namun pada pendapat saya ianya sudah mencukupi untuk mengikis daki-daki kesan penjajahan yang panjang di Tanah Melayu ini. Walau bagaimanapun, ada keperluan untuk meneruskan coretan SHA agar dapatlah diperpanjangkan ke dalam bidang-bidang lain supaya meningkat semangat juang di dalam peribadi Melayu yang telah remuk diserang dari semua arah :-
“Sebagaimana kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Tangga yang menimpa masyarakat Melayu yang sudah jatuh itu ialah Revolusi Mental. Kulit peribadi Melayu digaru sampai ke tulangnya. Di sini dicubit, di sana disepak, di sini diungkit, di sana disengkak, demikianlah nasib peribadi Melayu dalam pelukan Revolusi Mental.”
Yang menghairankan saya tulisan SHA sepatutnya sudah sepatutnya pantas diambil sebagai silibus dan telah sepatutnya melebur-cairkan daki-daki itu sehingga tidak kelihatan lagi setelah 40 tahun penerbitannya namun nampak gayanya ia telah dihalang sampai ke marhaen kerana seperti yang diutarakan oleh SHA, punca kepada kemunduran adalah kelemahan pemimpin Melayu sejak 100 tahun dahulu bukannya peribadi Melayu sendiri.
Buku ini sememangnya bagus dijadikan sebahagian koleksi bacaan di setiap rumah orang Melayu sebagai bacaan yang akan menyedarkan akal separa sedar orang Melayu yang dibayangi kata-kata nista penjajah dan juga kata-kata membunuh jiwa orang Melayu yang melutut di kaki penjajah.

KA

Comments

Popular Posts