Dulu VS Sekarang


DR. MOHD. FADZILAH KAMSAH
PENDEDAHAN Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati 886 daripada 887 remaja perempuan mengakui pernah melakukan hubungan seks ketika di sekolah menengah yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada awal Mac lalu begitu memeranjatkan semua pihak.
Malah tambah menjengkelkan apabila terbaca sebuah laman web yang menyediakan ruang pengakuan mereka yang pernah melakukan persetubuhan haram. Boleh dikatakan hampir keseluruhannya adalah anak Melayu yang sudah hilang rasa malu dan dengan bangga mengatakan perbuatan tidak berakhlak itu dibuat pada usia remaja.

Wartawan ZUARIDA MOHYIN menemu bual pakar motivasi yang tidak asing lagi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah untuk berkongsi pengalaman beliau yang telah mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam pelbagai bidang dari komunikasi, keusahawanan hinggalah kepada kemahiran keibubapaan untuk mengupas isu ini.

MEGA: Faktor keruntuhan akhlak semakin serius sedangkan pada masa yang sama banyak dibuat penganjuran seminar, bengkel, buku dan kursus praperkahwinan berkaitan kemahiran keibubapaan serta pendidikan anak-anak. Namun, masalah keruntuhan akhlak umat Islam semakin menjadi-jadi. Kenapa?

DR. FADZILAH: Kalau kita lihat senario yang sebaliknya iaitu ibu bapa zaman dahulu tidak ada seminar, kursus, ilmu, bahan penulisan tentang keibubapaan tetapi kenapa anak-anak menjadi? Hakikatnya kita tidak boleh bandingkan senario dahulu dengan sekarang.
Jawapannya, ibu bapa dahulu walaupun jahil tetapi anak-anak mereka menjadi. Ini kerana, dengan ilmu yang sedikit tetapi mereka amalkan dengan istiqamah dan berkeyakinan. Kedua, mereka membentuk satu suasana rumah tangga yang menyebabkan anak-anak mudah terpanggil untuk menjadi baik.

Contohnya, ibu bapa zaman dahulu selepas Maghrib mereka kebiasaannya mengamalkan bacaan al-Quran. Jika dibandingkan dengan suasana sekarang, masing-masing sibuk ditambah pula televisyen menyiarkan pelbagai program sehingga mudah terleka.

Berbalik kepada persoalan asal, kenapa dengan ilmu yang ada tetapi kita masih tidak seimbang antara pendekatan ilmu dengan senario semasa?

Pertama, kita banyak ilmu tetapi tidak diamalkan. Kedua, ada sedikit amalan tetapi tidak istiqamah dan ketiga, ada ilmu, ada amalan sedikit tetapi tidak seimbang.
Dalam satu kajian, saya dapati daripada 80 peratus ibu bapa yang pernah merotan anak, hanya satu hingga dua peratus sahaja merotan anak kerana tidak sembahyang. Sebenarnya, dengan kita menjaga solat, ia akan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
Seperkara lagi, ibu bapa mendidik kita dengan keras dan garang, sesuai dengan zamannya. Jadi pada zaman sekarang, kaedah ini tidak bersesuaian kerana Nabi berpesan agar didik anak ikut zamannya.

Pada zaman dahulu, kanak-kanak lebih lasak kerana persekitaran semula jadi sebegitu. Namun, budak-budak sekarang berbeza mereka tidak selasak seperti dahulu, oleh itu kalau kita berkeras ia tidak sesuai.

Kata Nabi lagi, didik anak dari umur satu hingga tujuh tahun dengan penuh kasih sayang dan gurau. Pada usia lapan hingga 14 tahun, didik anak dengan cara disiplin, tunjuk ajar dan demonstrasikan ia. Ini bererti, ibu bapa kena didik anak dengan memberi contoh teladan.
Ia juga sejajar dengan peribahasa Cina, ‘Apa yang saya dengar saya lupa, apa yang saya lihat saya ingat, apa yang saya bikin, saya faham dan saya ingat sampai bila-bila’.
Jelas di sini, faktor contoh teladan daripada ibu bapa penting dalam mendidik anak-anak.
Kita selalu mendengar saranan agar ibu bapa menjadi kawan kepada anak-anak. Bagaimana konsep yang nampak mudah ini dapat dipraktikkan?

DR. FADZILAH: Itu sebabnya Nabi berpesan apabila anak berusia 15 hingga 21 tahun, kena didik anak macam kawan. Konsep ini dipersetujui oleh pakar psikologi.
Pada usia ini mereka tidak boleh dimarahi, apa lagi dipukul. Apa yang lebih sesuai, kita memberi teguran berhikmah dan pujuk dengan sayang.

Ini berkemungkinan juga disebabkan ibu bapa tidak ada skrip (contoh didikan yang lekat dalam kepala) bagaimana menjadi kawan kepada anak-anak kerana ibu bapa dahulu tidak dididik secara sedemikian.

Jadi sebaik-baiknya kita padamkan skrip-skrip lama (contoh didikan daripada ibu bapa kita ke atas kita dahulu) dan gunakan skrip baru.

Untuk menjadi kawan kepada anak-anak, ibu bapa kenalah mengingati balik bahawa anak-anak zaman sekarang banyak terdedah kepada perkara-perkara yang ibu bapa sendiri jahil.
Satu caranya ialah kita kena ‘mendengar’ mereka. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah bermaksud: “Bila kamu ada anak kecil, kamu kena menjadi anak kecil kepada anak itu.”
Satu lagi dalam konteks berkawan dengan anak-anak ini ialah Nabi kata jangan sampai ibu bapa derhaka kepada anak-anak. Kebiasaan yang kita dengar anak derhaka, suami atau isteri derhaka. Ibu bapa derhaka pertama kerana salah memilih suami atau isteri dan kedua, tidak didik anak seperti sewajarnya.
Acap kali menjelang cuti persekolahan, pelbagai program cuti sekolah dianjurkan. Menerusi program ini barulah diketahui peratusan remaja Islam yang masih belum menguasai ilmu agama yang asas masih tinggi. Jika fenomena ini terus berlaku apakah nasib mereka ini dan umat Islam di masa hadapan?

DR. FADZILAH: Ya, ini satu perkara serius dan fenomena sebegini saya akui bukan sahaja berlaku dalam program cuti sekolah tetapi lebih menyedihkan apabila respons yang saya peroleh daripada pengendali kursus praperkahwinan bahawa masih ramai bakal-bakal pengantin yang tidak tahu mengucap, sembahyang dan mandi junub.
Saya terkenang kata-kata Pak Hamka, “Masa depan sesuatu bangsa itu, bergantung kepada remajanya sekarang.” Maka masa depan remaja Islam dan bangsa Islam kita akan hancur kalaulah remajanya berkeadaan begini. Pun begitu, jangan patah semangat dan berputus asa.
Langkah drastik yang boleh dilakukan ialah ingat sabda Rasulullah: Tidak beriman seseorang apabila dia tidur dalam nyenyak tetapi jirannya dalam keadaan lapar dan miskin. Lapar dan miskin di sini, saya luaskan bukan kepada makan dan minum tetapi terhadap ilmu, akhlak dan agama. Jika keadaan kita sempurna tetapi jiran kita sebaliknya, itu menandakan kita masih terhutang. Jadi kalau kita tidak terpanggil, maka kita berdosa.
Kedua, saya pinjam kata-kata Nabi Isa: “Oh Allah, aku berjaya bila semua jiran-jiran ku sama-sama berjaya, tetapi selagi ramai di sekitar ku masih gagal, aku masih gagal.” Jika para ibu bapa di Malaysia terasa terpanggil dengan ungkapan Nabi Isa itu, saya rasa masalah kita masih ada harapan untuk pulih.
Janganlah kita bersikap mementingkan diri dan keluarga kita semata-mata. Kita kena menjadikan pelbagai masalah sosial ini sebagai satu darurat. Ini bermakna masukkan dalam khutbah, doa dan lakukan sembahyang hajat. Apa pun yang kita buat semuanya tidak berkesan tanpa bantuan Allah.
Bagaimana ini boleh dipraktikkan sedangkan sikap individualistik semakin menebal dalam masyarakat Islam sekarang?
DR. FADZILAH: Memang ia sesuatu perkara yang susah tetapi saya selalu berpesan supaya jangan mengadu apa yang kita tidak boleh buat. Marilah kita lakukan apa yang boleh tetapi masih belum buat.
Contohnya, menjaga terlebih dahulu keluarga kita mudah-mudahan kita menjadi penyebab orang lain berubah.
Dalam satu lagi kajian saya, saya mendapati lebih kurang tiga peratus jiran yang mendoakan jirannya. Hakikatnya, Nabi kata doa jiran kepada jirannya makbul selagi mana ia tidak dihebahkan kepada orang.
Jadi gunakanlah ia dan ini satu sumber yang besar. Tidak ramai yang tahu kelebihan orang yang mendoakan jiran. Allah mengutuskan malaikat untuk mengaminkan doa mereka yang mendoakan jirannya. Kalau semua orang Malaysia terpanggil melakukan sebegini, saya yakin banyak masalah boleh diselesaikan.
Di samping itu, terdapat beberapa ramuan atau cara bagaimana untuk membantu agar kita sama-sama hebat iaitu; Mendoakan, memaafkan, membantu, menceriakan dan ikhlas dengan jiran. Jika formula ini dilakukan, insya-Allah kehebatan itu terserlah.

Jika ibu bapa sudah lakukan yang terbaik tetapi masih tidak berjaya, adakah ini dikatakan ujian Tuhan?
DR. FADZILAH: Memang benar! Anak Nabi Nuh pun tidak beriman tetapi jangan kita ambil perkara-perkara yang menjadi pengecualian atau yang bukan norma.
Kebiasaannya, apabila ibu bapa baik insya-Allah anak-anak juga baik. Rumah tangga bahagia, anak-anak juga berdisiplin, rasa selesa dan selamat. Tidak banyak kes di mana ibu bapa baik tetapi anak-anak bermasalah.
Akhir zaman ini, kita mengambil semua orang sebagai orang awam, bukannya malaikat, wali atau nabi. Maksud orang awam ialah orang biasa yang Allah uji dengan cara biasa.
Jadi kalau adalah orang yang memberi didikan anak dengan baik dan sempurna tetapi anaknya masih tidak berperangai seperti orang, jangan salahkan sesiapa tetapi salahkan diri sendiri. Ini kerana Nabi sudah berpesan: “Buat baik kepada orang tuamu agar anak berbuat baik kepadamu.”
Pertama, mungkin ibu bapa yang hebat ini bermasalah dengan ibu bapanya. Kedua, kadang-kadang kita merasakan kita sudah sempurna tetapi sebenarnya banyak lagi yang kita belum lakukan.

Comments

Popular Posts